Followers

Friday, June 13, 2014

Wanita Berkerjaya: antara Dilema dan Harapan

Wanita Berkerjaya:  antara Dilema dan Harapan


Dunia kini dapat menyaksikan penglibatan wanita didalam pelbagai sektor pekerjaan, baik kerajaan mahupun swasta. Dari satu sudut ia dilihat sangat positif, namun disatu sudut lagi, ia dilihat agak negatif. Lebih-lebih lagi sasaran kerajaan untuk meningkatkan sehingga 55% penglibatan wanita didalam sektor pekerjaan pada tahun 2015. Kempen “Kembali Bekerja” yang telah dilakukan bermula 16 Disember 2013 sehingga 14 Februari 2014 disasarkan kepada wanita yang “berehat daripada kerjaya” untuk kembali bekerja.



Wanita menghadapi pelbagai konflik dan dilema apabila bekerja. Mungkin mereka mempunyai niat yang murni untuk memberi sumbangan kepada pembangunan Negara, namun, dalam beberapa situasi, mereka terpaksa mengorbankan niat suci tersebut. Mereka menghadapi beberapa konflik dan dilema, antaranya:

1)      Kekangan kerja dan masa

Kekangan masa yang sangat singkat untuk memenuhi tuntuan kerjaya seolah-olah telah merampas “masa berkualiti” untuk ahli keluarga, terutamanya bagi mereka yang mempunyai anak-anak kecil dan masih bersekolah. Mereka membesar hanya sekali. Didikan sentuhan kasih belaian ibu amat diperlukan untuk mereka membesar.


2)      Peranan 2 dalam 1

Mereka juga mempunyai pelbagai peranan dan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan, seolah-olah 24jam masa yang ada tidak mencukupi sehinggakan terpaksa mengorbankan waktu untuk diri sendiri.

3)      Masalah pemilihan pengasuh ataupun taska

Masalah pemilihan pengasuh ataupun taska juga seringkali menjadi masalah buat mereka. Jadi, mereka mengambil keputusan untuk menjaga sendiri anak-anak.

Konflik dan dilemma apabila keluar bekerja akan menimbulkan pelbagai tekanan. Tekanan yang dihadapi jika dibiarkan akan membahayakan, bukan sahaja pada diri malah mungkin sehingga melibatkan ahli keluaraga dan mereka yang rapat.


Sokongan dan Bantuan Pihak Ketiga

Kajian yang dilakukan oleh Cohen, Johnson, Lewis dan Brook di dalam buku, “Stress between Work and Family”(New York Plenum Press: 1990) membuktikan majikan mahupun pekerjaan yang mesra keluarga, memainkan peranan yang sangat besar dalam membentuk ruang lingkup kerja yang positif untuk pekerja. Bahkan, ia turut memberi kesan kepada produktiviti sesuatu kerja.

Bagi membantu kerajaan dalam mensasarkan peningkatan wanita bekerja sebanyak 55% pada tahun hadapan, disini saya mempunyai beberapa cadangan samada ianya adalah mustahil ataupun tidak, ia perlu dikaji dan diteliti melalui Kementerian Pembangunan Wanita dan Masyarakat.

1)      Menetapkan waktu yang lebih anjal atau fleksibal untuk wanita, terutamanya yang masih mempunyai anak-anak yang masih kecil atau bersekolah.

Waktu kerja selama 9 jam sehari dari 8.00 pagi sehingga 5.00 petang mungkin boleh dilewatkan waktu bekerja dan diawalkan waktu pulang selama 7 jam dari 9.00 pagi sehingga 4.00 petang. Kadang-kadang kita dapati ada sebilangan wanita yang terpaksa pulang dan sampai ke rumah jam 8.00-9.00 malam atau lebih lewat dan mungkin waktu itu anak-anak sudah tidur. Bayangkan, ibu tiada masa untuk mereka pada setiap malam 5 hari seminggu. Seolah-olah tugas ibu di “sub” sepenuhnya kepada pembantu rumah dan orang lain. Bayangkan hanya berapa jam dan hari sahaja bersama mereka selama berbulan-bulan dan bertahun-tahun? Rasionalnya dengan harapan, mudah-mudahan dengan waktu yang lebih fleksibal itu dapat memeri sedikit masa untuk mereka menyumbang dan menyambung tenaga untuk amanah di rumah pula.

2)      Menetapkan hari bekerja yang lebih fleksibal terutama wanita yang baru lepas berpantang dan mempunyai bayi yang masih menyusui.

Mungkin boleh diberikan tempoh hari bekerja dari 5 hari seminggu kepada 2 atau 3 hari seminggu dan dibenarkan untuk mereka menyelesaikan urusan kerja dirumah (kerja yang bersesuaian).

3)      Dikecualikan syif malam untuk wanita yang mempunyai anak kecil (yang bersesuaian)

Samada cadangan ini dilihat relevan ataupun tidak, ia perlu dikaji dan dibuat penelitian. Percayalah bahawa faktor masa yang terpaksa dikorbankan oleh kaum ibu terutamanya yang mempunyai anak-anak yang masih kecil yang lebih memerlukan perhatian ibubapa itulah yang selalu menjadi pertimbangan untuk mereka bekerja ataupun tidak. Maka ibulah yang lebih memainkan peranan.

Untuk para majikan pula, di dalam buku “Super Woman” (PTS Publication: 2013) ada dinyatakan cadangan usaha untuk pihak majikan bagaimana boleh membantu para wanita terutamanya dalam menyeimbangkan antara kerjaya dan rumahtangga.

Antara proses yang boleh dilakukan :

1)      Memahami Isu atau masalah

Melakukan survey bagi mendapat gambaran dan meminta pandangan dan cadangan  pekerja, “bagaimana mereka sebagai pengurus boleh membantu mereka merasai nilai keseimbangan antara rumahtangga dan kerjaya” supaya mereka dapat memberikan lebih produktiviti kepada majikan dan tanpa mengabaikan keluarga.

2)      Membentuk kumpulan kajian

Kumpulan kajian itu bertanggungjawab untuk mengenalpasti, mengkaji dan menilai survey.

3)      Mencari Solusi

Mencari solusi yang terbaik bagi kedua-dua belah pihak.

Di dalam buku “Work-Life Integration: Case Studies of Organisational Change”(Suzan Lewis dan Cary L.Cooper, J.Wiley:2005) dan “Balancing Work and Family: The Role of the Workplace” (Jacquelin Wallen, Boston:Allyn and Bacon, 2002) ada membincangkan mengenai peranan dan pengaruh besar majikan kepada produktiviti pekerja, serta beberapa perubahan yang dapat dilakukan bagi memenangi hati semua pihak supaya setiap orang boleh mencapai situasi menang-menang (win-win situation).

Diharapkan dengan sokongan daripada kerajaan dan pihak majikan atau organisasi dapat membantu pekerja bawahan terutamanya para wanita dalam menyeimbangkan antara tuntutan kerjaya dan rumahtangga. Ini kerana keseimbangan yang diperoleh dan kepuasan yang dirasai dalam bekerja dapat membantu meningkatkan produktiviti dalam bekerja dan rumahtangga  juga.

Peranan utama Kaum Ibu

Penyair Arab, Hafiz Ibrahim ada menyatakan, “Ibu itu ibarat sebuah sekolah, apabila engkau mempersiakannya dengan baik, maka akan harumlah namanya”. Peranan ibu cukup besar dalam melahirkan dan mendidik anak-anak sebagai pelapis dan modal insan permata Negara. Oleh yang demikian, sokongan dan bantuan semua pihak sangatlah diperlukan dalam merealisasikan usaha tersebut. Jika cadangan tadi diambil kira, sekurang-kurangnya, masa untuk anak-anak dapat bersama mereka. Aktiviti anak-anak dapat dipantau dan itulah antara masa berkualiti, bermula saat makan malam dan solat berjemaah maghrib dan isya bersama serta dapat meluangkan masa bermain, melihat pelajaran atau berbual dan menasihati pada malam hari sebelum tidur.

Dari situ, nilai keseimbangan dapat dirasai dimana sumbangan untuk Negara dapat diberikan dan tanggungjawab mendidik generasi Negara dapat ditunaikan. InsyaAllah mudah-mudahan ia akan memberikan impak yang terbaik dan berkesan terhadap produktiviti Negara dan modal insan yang bermula dari rumah. Selamat hari pekerja buat semua terutama seluruh wanita super diluar sana. Sumbangan dan tenaga anda sangat diperlukan untuk kebaikan keluarga dan Negara.



Mardiana Mat Ishak

No comments:

Post a Comment