Followers

Saturday, June 14, 2014

Kenapa Saya Bekerja? Perlu Bekerja atau Tidak?

Jika ditanya kepada kita, kenapa kita bekerja? Jawapannya ada pada kita sendiri. Setiap individu yang memilih untuk bekerja atau tidak bekerja mempunyai jawapan dan pilihan masing-masing. 

Menurut Dr. Noraini dari UIAM, daripada kajiannya mendapati, jawapan utama iaitu 80% daripada wanita yang ditanya kenapa mereka bekerja mengatakan bahawa “saya layak untuk bekerja”. Ini berdasarkan daripada kelayakan dari aspek tahap pendidikan. Ada jawapan yang mengatakan untuk membantu kewangan suami dan keluarga.




Pilih Karier atau Keluarga?

Untuk membuat pilihan samada bekerja atau tidak bekerja seringkali menjadi konflik dan dilema di dalam diri wanita. Jika bekerja, dirasakan bagaimana diri mampu untuk menguruskan rumahtangga dan keluarga, apatah lagi bagaimana pula untuk mendidik anak-anak yang sedang membesar. Tetapi, jika tidak bekerja dan memberi fokus kepada rumahtangga, bagaimana pula dari sudut kewangan keluarga yang perlu untuk membantu suami tercinta.

Jika aspek didikan anak-anak yang menjadi penyebab, sebenarnya pertumbuhan dan perkembangan anak-anak tidak ada kaitan yang besar antara menjadi surirumah sepenuh masa atau ibu bekerjaya, tetapi ia lebih kepada cara mendidiknya. Banyak wanita yang menjadi surirumah sepenuh masa gagal mendidik anak-anaknya, namun di pihak lainnya, banyak juga ibu yang bekerjaya yang sukses dalam mendidik anak-anaknya. Namun, ada juga wanita yang bekerja gagal mendidik anak-anaknya, namun di pihak lainnya, banyak juga ibu sebagai surirumah yang sukses dalam mendidik anak-anaknya. Pilihan untuk menjadi wanita dan ibu bekerjaya ini menuntut dirinya untuk menjadi seorang wanita Super, sukses sebagai diri sendiri , isteri, ibu, dan sukses juga sebagai wanita berkarier. Memang, ia bukanlah satu tugas yang mudah.

Pilihan SOHO atau Bekerja Diluar

Seorang Ibu mempunyai banyak pilihan. Segala ruang dan peluang berada didepan mata. Pada zaman kini, ramai yang memilih untuk bekerja di rumah (SOHO- Small Office Home Office) dan ada juga  yang memilih untuk bekerja makan gaji di luar rumah.

Mana-mana pilihan yang dibuat, satu perkara yang pasti, si ibu perlu bijak dalam mengatur waktu untuk keluarga dan urusan peribadi kerana pada hakikatnya seorang ibu mempunyai tugas utama iaitu untuk mengatur urusan rumah tangga termasuk mengatur, mengawasi, dan membimbing anak-anak. Apatahlagi bagi ibu yang mempunyai anak yang masih kecil yang memerlukan didikan berterusan dari si ibu. Inilah cabaran yang kuat yang perlu dihadai si ibu.

Pembentukan keperibadian seorang anak bermula ketika mereka berusia lingkungan 0-5 tahun. Si anak akan belajar dari orang-orang yang berada dalam lingkungan sekitarnya tentang hal-hal yang dilakukan oleh mereka. Anak yang berada di lingkungan orang-orang yang sering marah, memukul, dan melakukan tindakan kekerasan lainnya, anak tersebut juga akan membesar dan mempunyai peribadi yang keras. Untuk itu ibu atau orang tua harus bijaksana dalam mendidik anak sewaktu orang tua bekerja.

Seorang anak yang berusia 0-5 tahun masih bergantung sepenuhnya dengan ibu. Ini kerana,  mereka belum mampu berdikari dalam mengatur dan melakukan urusan peribadinya seperti makan, mandi, belajar, dan sebagainya. Mereka masih memerlukan bantuan dari orang tua dalam melakukan perkara-perkara tersebut. Apabila si anak itu diserahkan kepada seorang pembantu, maka ibu harus mengetahui bahawa pembantu tersebut mampu membimbing dan membantu anak-anaknya dalam melakukan urusan-urusan tersebut. Jika sekiranya dia gagal, maka si anak akan mengalami kerugiannya pada masa hadapan.

Kadang-kadang hanya kerana lingkungan yang kurang membantu sewaktu anak masih kecil akan memberikan impak dan kesan yang negatif dalam pertumbuhan peribadi anak-anak pada usia selanjutnya. Seperti kes-kes kenakalan remaja, keterlibatan anak dalam gejala sosial, dan sebagainya boleh berlaku kerana pembentukan peribadi serta didikan dan kurangnya perhatian ketika anak-anak membesar dan tidak terbentuk dengan baik. Na’uzubillahiminzalik…

Untuk itu maka ibu, mempunyai tanggungjawab dan cabaran yang cukup besar lebih-lebih lagi bagi mereka yang bekerja di luar. Ibu perlu bijak dalam mengatur waktunya. Bekerja untuk memenuhi keperluan keluarga memang sangat mulia, tetapi perlu diingat bahawa tugas utama seorang ibu adalah untuk mengurus dan mengatur rumah tangga.

Ibu yang perlu keluar bekerja di pagi hari dan pulang pada petang hari tetap perlu meluangkan waktu untuk berkomunikasi, bergurau, bermain, memeriksa dan membantu kerja-kerja sekolahnya, mengajar dan memantau bacaan al-Quran dan Solat mereka, sekalipun ibu sangat penat setelah seharian bekerja di luar rumah. Si ibu yang bekerja di dalam rumah juga mempunyai tanggungjawab dan cabaran yang sama.Tetapi, percaya dan yakinlah bahawa setiap pengorbanan tersebut akan menjadi suatu kebahagiaan apabila melihat anak-anaknya membesar menjadi seorang insan dan hamba Allah yang baik. Insya Allah…

Namun begitu, tugas mendidik anak-anak juga tentunya bukan hanya tugas ibu semata-mata, tetapi si ayah juga perlu turut membantu ibu dalam melakukan urusan rumahtangga agar kebahagiaan dan keharmonian rumahtanggapun akan tetap dijaga dan dipelihara dengan baik di bawah ruh Islam.


No comments:

Post a Comment