Wanita Berkerjaya: antara Dilema dan Harapan
Dunia kini dapat menyaksikan penglibatan wanita
didalam pelbagai sektor pekerjaan, baik kerajaan mahupun swasta. Dari satu
sudut ia dilihat sangat positif, namun disatu sudut lagi, ia dilihat agak
negatif. Lebih-lebih lagi sasaran kerajaan untuk meningkatkan sehingga 55%
penglibatan wanita didalam sektor pekerjaan pada tahun 2015. Kempen “Kembali
Bekerja” yang telah dilakukan bermula 16 Disember 2013 sehingga 14 Februari
2014 disasarkan kepada wanita yang “berehat daripada kerjaya” untuk kembali
bekerja.
Wanita menghadapi pelbagai konflik dan dilema
apabila bekerja. Mungkin mereka mempunyai niat yang murni untuk memberi
sumbangan kepada pembangunan Negara, namun, dalam beberapa situasi, mereka
terpaksa mengorbankan niat suci tersebut. Mereka menghadapi beberapa konflik
dan dilema, antaranya:
1)
Kekangan kerja dan masa
Kekangan masa yang sangat singkat
untuk memenuhi tuntuan kerjaya seolah-olah telah merampas “masa berkualiti” untuk
ahli keluarga, terutamanya bagi mereka yang mempunyai anak-anak kecil dan masih
bersekolah. Mereka membesar hanya sekali. Didikan sentuhan kasih belaian ibu
amat diperlukan untuk mereka membesar.
2)
Peranan 2 dalam 1
Mereka juga mempunyai pelbagai
peranan dan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan, seolah-olah 24jam masa yang
ada tidak mencukupi sehinggakan terpaksa mengorbankan waktu untuk diri sendiri.
3)
Masalah pemilihan pengasuh ataupun taska
Masalah pemilihan pengasuh ataupun
taska juga seringkali menjadi masalah buat mereka. Jadi, mereka mengambil
keputusan untuk menjaga sendiri anak-anak.
Konflik dan dilemma apabila keluar bekerja akan
menimbulkan pelbagai tekanan. Tekanan yang dihadapi jika dibiarkan akan
membahayakan, bukan sahaja pada diri malah mungkin sehingga melibatkan ahli
keluaraga dan mereka yang rapat.
Sokongan dan Bantuan Pihak Ketiga
Kajian yang dilakukan oleh Cohen, Johnson,
Lewis dan Brook di dalam buku, “Stress between Work and Family”(New York Plenum
Press: 1990) membuktikan majikan mahupun pekerjaan yang mesra keluarga,
memainkan peranan yang sangat besar dalam membentuk ruang lingkup kerja yang
positif untuk pekerja. Bahkan, ia turut memberi kesan kepada produktiviti
sesuatu kerja.
Bagi membantu kerajaan dalam mensasarkan
peningkatan wanita bekerja sebanyak 55% pada tahun hadapan, disini saya
mempunyai beberapa cadangan samada ianya adalah mustahil ataupun tidak, ia
perlu dikaji dan diteliti melalui Kementerian Pembangunan Wanita dan
Masyarakat.
1)
Menetapkan waktu yang lebih anjal atau fleksibal
untuk wanita, terutamanya yang masih mempunyai anak-anak yang masih kecil atau
bersekolah.
Waktu kerja selama 9 jam sehari dari
8.00 pagi sehingga 5.00 petang mungkin boleh dilewatkan waktu bekerja dan
diawalkan waktu pulang selama 7 jam dari 9.00 pagi sehingga 4.00 petang.
Kadang-kadang kita dapati ada sebilangan wanita yang terpaksa pulang dan sampai
ke rumah jam 8.00-9.00 malam atau lebih lewat dan mungkin waktu itu anak-anak
sudah tidur. Bayangkan, ibu tiada masa untuk mereka pada setiap malam 5 hari
seminggu. Seolah-olah tugas ibu di “sub” sepenuhnya kepada pembantu rumah dan
orang lain. Bayangkan hanya berapa jam dan hari sahaja bersama mereka selama
berbulan-bulan dan bertahun-tahun? Rasionalnya dengan harapan, mudah-mudahan
dengan waktu yang lebih fleksibal itu dapat memeri sedikit masa untuk mereka
menyumbang dan menyambung tenaga untuk amanah di rumah pula.
2)
Menetapkan hari bekerja yang lebih fleksibal
terutama wanita yang baru lepas berpantang dan mempunyai bayi yang masih
menyusui.
Mungkin boleh diberikan tempoh hari bekerja
dari 5 hari seminggu kepada 2 atau 3 hari seminggu dan dibenarkan untuk mereka
menyelesaikan urusan kerja dirumah (kerja yang bersesuaian).
3)
Dikecualikan syif malam untuk wanita yang
mempunyai anak kecil (yang bersesuaian)
Samada cadangan ini dilihat relevan ataupun
tidak, ia perlu dikaji dan dibuat penelitian. Percayalah bahawa faktor masa
yang terpaksa dikorbankan oleh kaum ibu terutamanya yang mempunyai anak-anak
yang masih kecil yang lebih memerlukan perhatian ibubapa itulah yang selalu
menjadi pertimbangan untuk mereka bekerja ataupun tidak. Maka ibulah yang lebih
memainkan peranan.
Untuk para majikan pula, di dalam buku “Super
Woman” (PTS Publication: 2013) ada dinyatakan cadangan usaha untuk pihak
majikan bagaimana boleh membantu para wanita terutamanya dalam menyeimbangkan antara
kerjaya dan rumahtangga.
Antara proses yang boleh dilakukan :
1)
Memahami Isu atau masalah
Melakukan survey bagi mendapat
gambaran dan meminta pandangan dan cadangan
pekerja, “bagaimana mereka sebagai pengurus boleh membantu mereka merasai
nilai keseimbangan antara rumahtangga dan kerjaya” supaya mereka dapat memberikan
lebih produktiviti kepada majikan dan tanpa mengabaikan keluarga.
2)
Membentuk kumpulan kajian
Kumpulan kajian itu bertanggungjawab
untuk mengenalpasti, mengkaji dan menilai survey.
3)
Mencari Solusi
Mencari solusi yang terbaik bagi
kedua-dua belah pihak.
Di dalam buku “Work-Life Integration: Case
Studies of Organisational Change”(Suzan Lewis dan Cary L.Cooper, J.Wiley:2005)
dan “Balancing Work and Family: The Role of the Workplace” (Jacquelin Wallen,
Boston:Allyn and Bacon, 2002) ada membincangkan mengenai peranan dan pengaruh
besar majikan kepada produktiviti pekerja, serta beberapa perubahan yang dapat
dilakukan bagi memenangi hati semua pihak supaya setiap orang boleh mencapai
situasi menang-menang (win-win situation).
Diharapkan dengan sokongan daripada kerajaan
dan pihak majikan atau organisasi dapat membantu pekerja bawahan terutamanya
para wanita dalam menyeimbangkan antara tuntutan kerjaya dan rumahtangga. Ini
kerana keseimbangan yang diperoleh dan kepuasan yang dirasai dalam bekerja
dapat membantu meningkatkan produktiviti dalam bekerja dan rumahtangga juga.
Peranan utama Kaum Ibu
Penyair Arab, Hafiz Ibrahim ada menyatakan, “Ibu
itu ibarat sebuah sekolah, apabila engkau mempersiakannya dengan baik, maka
akan harumlah namanya”. Peranan ibu cukup besar dalam melahirkan dan mendidik
anak-anak sebagai pelapis dan modal insan permata Negara. Oleh yang demikian,
sokongan dan bantuan semua pihak sangatlah diperlukan dalam merealisasikan
usaha tersebut. Jika cadangan tadi diambil kira, sekurang-kurangnya, masa untuk
anak-anak dapat bersama mereka. Aktiviti anak-anak dapat dipantau dan itulah
antara masa berkualiti, bermula saat makan malam dan solat berjemaah maghrib
dan isya bersama serta dapat meluangkan masa bermain, melihat pelajaran atau
berbual dan menasihati pada malam hari sebelum tidur.
Dari situ, nilai keseimbangan dapat dirasai
dimana sumbangan untuk Negara dapat diberikan dan tanggungjawab mendidik
generasi Negara dapat ditunaikan. InsyaAllah mudah-mudahan ia akan memberikan
impak yang terbaik dan berkesan terhadap produktiviti Negara dan modal insan
yang bermula dari rumah. Selamat hari pekerja buat semua terutama seluruh wanita
super diluar sana. Sumbangan dan tenaga anda sangat diperlukan untuk kebaikan keluarga
dan Negara.
Mardiana Mat Ishak
No comments:
Post a Comment